Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) telah ditubuhkan pada 1 Julai 1956 di bawah Ordinan Kemajuan Tanah 1956.
 
     | 
   CPO : RM 2,650.50 (per tan)
soalan lazim2 hubungi kami2 aduan2 petalaman3
Media Keratan Akhbar 2019 PM rasmi Hari Peneroka FELDA Kebangsaan 2019 Ahad ini

ROMPIN: Pada Ahad ini, FELDA Selancar 3 akan menjadi tapak sambutan Hari Peneroka FELDA peringkat kebangsaan 2019, yang sekali gus menyaksikan pelancaran model baharu bagi peneroka tanah rancangan itu.

Perasmian akan dilakukan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mana tumpuannya ialah pelancaran Model Baharu FELDA yang disasarkan untuk membantu meningkatkan kehidupan peneroka menerusi pendekatan yang berbeza berbanding sebelum ini.

Pengarah Besar FELDA, Datuk Dr Othman Omar, berkata selain itu, beberapa anugerah juga diperkenalkan pada sambutan seperti Anugerah Rancangan Kampung FELDA yang menawarkan hadiah tempat pertama RM1 juta; Anugerah Ikon Anak FELDA; Anugerah Masjid Contoh dan Anugerah Tokoh Imam.

Beliau berkata FELDA Selancar 3 dipilih sebagai tuan rumah kerana kawasan itu indah dengan panorama alam semula jadi.

Katanya pastinya sambutan yang dijangka bakal dihadiri 10,000 peneroka seluruh negara dirangka dengan pelbagai program istimewa.

“Tahun ini amat istimewa kerana kita buat di Selancar Tiga. Ia satu kawasan yang indah dengan semula jadi. Kecantikan ini ada di FELDA Selancar Tiga.

“Antara aktiviti yang mampu menarik pengunjung adalah demo masakan bersama Chef Wan pada Ahad nanti. Antara menunya adalah resipi membabitkan daging arnab,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan kunjungan di tapak Hari Peneroka FELDA peringkat kebangsaan 2019 di Selancar Tiga, di sini semalam.

Mengulas mengenai intipati penting yang bakal diumumkan Perdana Menteri nanti, Othman berkata ia berkisar inisiatif Model Baharu FELDA dalam ucapatamanya.

Mewakili warga FELDA, beliau berharap dengan model baharu itu, peneroka dapat keluar daripada kepompong kebiasaan dengan terlalu bergantung kepada sumber tanaman sawit yang mengalami ketidaktentuan harga pada masa ini.

“Kita berharap peneroka berusaha dengan kaedah yang sedikit berbeza dari dahulu contohnya dengan cara menyewakan tanah bagi jangka panjang dan terbabit dalam tanaman kontan.

“Sewaan jangka panjang akan dapat dimanfaatkan peneroka terutama yang berusia kerana FELDA akan melakukan tanaman semula di atas tanah mereka tanpa mereka perlu berhutang untuk modal tanaman semula itu.

“Kita mendapati lebih 70 peratus peneroka kini berusia lebih 56 tahun dan mereka juga menghadapi masalah untuk mewariskan tanah kerana anak-anak berhijrah ke bandar,” katanya.

837 dibaca
Pengarah Besar, Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), Datuk Dr Othman Omar (tengah), diberi taklimat oleh Timbalan Pengarah Besar FELDA (Pembangunan Komoditi), Anuar Malek (kanan), ketika lawatan tapak di Padang Awam, Felda Selancar 3, sempena Hari Peneroka Kebangsaan 2019 yang akan diadakan pada Ahad ini. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Sumber : Berita Harian

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2019/07/580761/pm-rasmi-hari-peneroka-felda-kebangsaan-2019-ahad-ini

Kaji Selidik Portal