Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali berkata, beliau difahamkan, unit-unit rumah berkenaan telah mendapat Sijil Layak Menduduki Bangunan (CF).

“Unit rumah PGBF berkenaan kini boleh diserahkan kepada generasi baharu Felda untuk diduduki,” katanya ketika berucap pada majlis Sambutan Hari Peneroka 2019 yang dirasmikan Perdana Menteri, Tun. Dr. Mahathir Mohamad di Felda Selancar 3 di sini hari ini.

Yang hadir sama Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd. Bakke Salleh, Pengarah Besar Felda, Datuk Dr. Othman Omar dan Ketua Peneroka Felda Kebangsaan, Sulong Jamil Mohamed Shariff.

Mohamed Azmin berkata, kerajaan komited bagi memastikan rumah PGBF yang terbengkalai untuk diteruskan pembinaan membabitkan peruntukan berjumlah RM250 juta.

Sementara itu, beliau berkata, pengurusan Felda mencadangkan supaya pemenang Anugerah Keceriaan Kampung Felda (AKKF) sempena sambutan Hari Peneroka Kebangsaan tahun depan bukan sahaja diberikan kepada johan malah naib johan dan tempat ketiga.

“AKKF dapat memupuk semangat persaudaraan dan muhibah dalam kalangan warga peneroka melalui aktiviti gotong-royong serta kecerian kampung yang dilaksanakan,” katanya. - UTUSAN ONLINE