Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) telah ditubuhkan pada 1 Julai 1956 di bawah Ordinan Kemajuan Tanah 1956.
 
     | 
   CPO : RM 2,650.50 (per tan)
soalan lazim2 hubungi kami2 aduan2 petalaman3
Media Keratan Akhbar 2019 Inisiatif baharu Felda pacu pembangunan sosioekonomi peneroka

Oleh Mohd Fharkhan Abdul Ghapar KUALA LUMPUR, 4 Julai (Bernama) -- Pembangunan masyarakat peneroka tidak pernah terlepas daripada menjadi keutamaan kerajaan, malah pelbagai peluang baharu sentiasa diteroka untuk memacu pertubuhan yang mampan bagi golongan itu.

Justeru itu, untuk mempertingkatkan taraf sosioekonomi bagi kira-kira 112,635 peneroka di seluruh negara, Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) akan melancarkan Program Pembangunan Peneroka (PPP) yang digariskan dalam Kertas Putih “Ke Arah Kelestarian Felda” yang dibentangkan pada April lepas. Bercakap dalam temu bual khas bersama Bernama sempena sambutan Hari Peneroka Kebangsaan 2019, Pengarah Besar Felda Datuk Dr Othman Omar berkata inisiatif itu membuktikan kerajaan sentiasa peka dengan keperluan peneroka selain sebagai langkah mengembalikan reputasi dan prestasi Felda. Jelasnya, program yang merangkumi aktiviti perniagaan berasaskan tanaman gantian dan ternakan itu menyasarkan kumpulan peneroka dan peneroka generasi baharu. “Menerusi program ini, tuaian dapat dihasilkan dalam tempoh singkat dan berpotensi untuk menjana aliran tunai dengan cepat dan konsisten. Ia memberikan pendapatan sampingan dalam keadaan pasaran harga minyak sawit yang tidak menentu. “Ketika ini, jika peneroka terlampau bergantung dengan hasil sawit mereka akan susah. Inisiatif ini dapat menambah pendapatan sampingan mereka sekurang-kurangnya dalam RM300 hingga RM400 sebulan,” katanya kepada Bernama baru-baru ini. Temu bual itu turut disertai Pengerusi Bernama Datuk Seri Azman Ujang. Sambutan hari istimewa peneroka bagi tahun ini mengangkat tema ‘Peneroka Mandiri, Felda Lestari’, dijadualkan berlangsung di Felda Selancar 3, Rompin Pahang dan akan disempurnakan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Suasana ketika pembukaan awal tanah rancangan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda). Selepas tahun 1980-an Felda telah membangun dengan begitu rancak dan persepsi orang luar terhadap institusi ini turut berubah ditambah pula dengan adanya dasar pembangunan bandar di kawasan Felda itu sendiri.

Berdasarkan kertas putih itu, kerajaan mengumumkan beberapa bantuan kepada Felda yang berjumlah RM6.23 bilion dengan 70 peratus daripada jumlah peruntukan itu diberikan dalam bentuk geran, pinjaman dan jaminan kerajaan secara berperingkat mengikut keperluan peneroka. Antara inti pati bantuan itu, termasuk RM2 bilion bagi menghapuskan faedah pinjaman peneroka dalam jangka masa tujuh tahun, RM1 bilion untuk PPP bagi meningkatkan hasil ladang dan pendapatan peneroka, RM2.5 bilion dalam bentuk jaminan kerajaan untuk penstrukturan semula pinjaman dan RM480 juta diberikan untuk membayar pinjaman sara hidup dan pendahuluan hasil. Bagi mekanisme pelaksanaan PPP, Othman berkata perbincangan bersama Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani serta agensinya bersetuju membantu Felda menjalankan kajian melalui tanaman selingan seperti nanas dan pisang, di kawasan tanam semula. Othman berkata Felda juga sedang berunding dengan agensi kerajaan lain, koperasi dan pemain utama sektor swasta termasuk pemimpin agrobisnes untuk menjadi rakan kongsi strategik program Felda menerusi perkongsian teknologi dan jenis tanaman kontan baharu. Rundingan ini mencerminkan kepercayaan dan keyakinan pasaran terhadap pelan transformasi Felda. Sejajar usaha menjaga kepentingan dan reformasi hala tuju peneroka, beliau berkata Felda dalam proses mengkaji pindaan akta dan peraturan yang berkaitan selaras dengan model Felda baharu.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menunjukkan Kertas Putih Ke Arah Kelestarian Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) selepas membentangkannya di Parlimen hari ini.

Menurut Othman, ia merangkumi Akta Tanah (Kawasan Penempatan Berkelompok) 1960 berkenaan penjualan tanah selepas proses hak milik dan isu perwarisan yang melibatkan pewartaan yang menetapkan sewaan jangka panjang hanya tertakluk kepada tempoh tiga tahun sahaja. “Saya kira memang sudah tiba masanya kami longgarkan dan kaji syarat-syarat ini, kerana kes pewarisan hak milik tanah sukar diselesaikan, malah ada beberapa kawasan Felda, generasi peneroka sudah sampai ke generasi kelima,” katanya.

Sumber :-- BERNAMA

http://www.bernama.com/bm/news.php?id=1742176

Kaji Selidik Portal