Media Keratan Akhbar 2019 Kerajaan akan minta kebenaran peneroka cantum tanah
 
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyampaikan anugerah kepada Peneroka Felda Selancar 3 yang memenangi Anugerah Keceriaan Kampung Felda (AKKF) 2019 pada majlis Sambutan Hari Peneroka Kebangsaan 2019 di Padang Awam, Felda Selancar 3, Rompin. - NSTP/Mahzir Mat Isa

ROMPIN: Kerajaan akan berbincang dengan peneroka untuk menerangkan mengenai inisiatif dan cadangan mencantumkan tanah mereka bagi kegiatan pertanian baharu selain getah dan kelapa sawit.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, akui masa perlu diberi bagi cadangan percantuman itu memandangkan ramai peneroka kini sudah berusia dan biasa dengan dua jenis tanaman terbabit.

“Kebanyakan peneroka ini umur sudah lebih 60 tahun. Jadi, untuk dia nak tukar cara (tanaman), kena susun semula.

“Tapi kalau pemilik tanah (peneroka) ini dia mahu satukan tanah dan diurus oleh pakar, saya yakin kita akan dapat lebih hasil yang boleh dibahagikan kemudiannya, mengikut saiz (keluasan tanah) yang mereka beri,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Terdahulu, Dr Mahathir hadir pada Sambutan Hari Peneroka FELDA Peringkat Kebangsaan 2019 di FELDA Selancar 3.

Yang turut sama hadir, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; Pengerusi FELDA, Tan Sri Mohd Bakke Salleh serta Pengarah Besar FELDA, Datuk Dr Othman Omar.

Sebaik selesai sidang media, beliau bersama kenamaan lain melawat rumah contoh FELDA di FELDA Selancar 3 dan meluangkan masa kira-kira 15 minit di sana.

Dr Mahathir berkata usaha mencantumkan tanah itu hanya membabitkan peneroka yang bersetuju dengan inisiatif berkenaan serta dan meluaskan hasil tani serta pendapatan mereka.

“Kita akan cari mana-mana tempat (tanah peneroka) yang mereka sendiri setuju, tidak kira berapa keluasan bermula dari 1,000 ekar dan ia akan diurus oleh profesional. Ini ideanya.

“Dalam satu kawasan yang dicantum mungkin keluasannya 1,000 ekar atau 2,000 ekar, mungkin kita ambil 200 ekar ini untuk tanam yang lain,” katanya.

Dr Mahathir juga berkata, hasil dan pendapatan diperoleh menerusi inisiatif itu akan diagihkan berdasarkan jumlah keuntungan dijana dari kawasan tanaman itu sebelum dibahagikan dengan bilangan peneroka terbabit.

Beliau berkata Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan turun padang menilai kesesuaian tanah bagi tanaman selain daripada kelapa sawit dan getah.

“Jangan tanam sayur atau buah tembikai saja. Kalau tanam banyak jenis (pertanian) kita boleh pasar dalam negeri dan luar negara juga banyak permintaan.

“Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan nasihat kita dan ada kajian dilakukan untuk melihat tanaman yang sesuai untuk sesuatu kawasan itu,” katanya.

Sumber : Berita Harian

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2019/07/582134/kerajaan-akan-minta-kebenaran-peneroka-cantum-tanah

qr code 2903
Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan, Menara FELDA, Platinum Park, No. 11, Persiaran KLCC, 50088 Kuala Lumpur, Malaysia.
No. Tel: 03 2191 2191| No. Faks: 03 2191 2590 | Emel : [email protected]

Paparan terbaik menggunakan pelayar popular dan terkini dengan minimum resolusi 1280 x 1024 piksel dan ke atas.

socmed1 socmed2 socmed3  socmed4  socmed4  socmed1