PPP yang digariskan dalam Kertas Putih ‘Ke Arah Kelestarian Felda’ dibentangkan April lepas melibatkan peruntukan geran berjumlah RM1 bilion yang diberikan secara berperingkat dalam tempoh empat tahun.

Program berkenaan adalah inisiatif terbaharu kerajaan untuk meningkatkan pendapatan kira-kira 112,000 peneroka menerusi hasil baharu supaya tidak terlalu bergantung kepada tanaman kelapa sawit.

Hal demikian kerana harga komoditi itu tidak stabil harganya disebabkan persaingan sengit dari negara jiran, tindakan diskriminasi Kesatuan Eropah, permintaan dan faktor-faktor lain yang memberi kesan kepada industri kelapa sawit negara.

PPP merangkumi aktiviti berasaskan program tanaman selingan dan ternakan yang mampu memberikan hasil dalam tempoh singkat dan menjana aliran tunai konsisten.

Perdana Menteri berkata, kerajaan merancang untuk mencatumkan ladang-ladang peneroka Felda di seluruh negara supaya dapat diuruskan dengan tersusun oleh pakar-pakar dalam bidang berkaitan dan mempelbagaikam jenis tanamam agar tidak bergantung kepada hasil kelapa sawit serta getaha semata-mata.

“Kalau kita mempunyai ladang besar, sebahagiannya ditanam dengan buah atau sayur-sayuran yang memiliki permintaan besar di negara ini.

“Apabila harga kelapa sawit dan getah jatuh, kita masih memperoleh pendapatan daripada tanaman lain ini. Dengan itu tak perlulah subsidi daripada kerajaan apabila harga komoditi ini jatuh, sebaliknya dengan menjual tanaman selingan ini kita dapat menyara hidup sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di hadapan kira-kira 10,000 warga peneroka semasa merasmikan majlis Sambutan Hari Peneroka Felda 2019 bertemakan ‘Peneroka Mandiri, Felda Lestari’ di Felda Selancar 3 di sini hari ini.

Yang hadir sama Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd. Bakke Salleh; Pengarah Besar Felda, Datuk Dr. Othman Omar dan Ketua Peneroka Felda Kebangsaan, Sulong Jamil Mohamed Shariff.

Dr. Mahathir berkata, kerajaan berusaha memberi pendapatan yang baik kepada semua peneroka menerusi penggunaan tanah yang memberi hasil seperti mereka memiliki ladang besar seterusnya dapat menjana pendapatan lumayan.

“Insya-Allah dengan perubahan seperti ini, peneroka mendapat hasil lebih baik dan hidup lebih sempurna serta luar bandar tidak lagi menjadi kawasan miskin,” katanya. - UTUSAN ONLINE